Sunday, October 9, 2011

lumpuh

bila telinga hanya mampu mendengar
bila mata hanya terdaya melihat
bila suara hanya berupaya mengia

aku rasa lumpuh

hanya utusan doa
kerana aku tak berdaya
semoga Dia permudahkan semua

Thursday, June 9, 2011

sabar

sabar. katanya seperdua iman. maka andai itu dipakai kira aku calon yang paling beriman. mungkin. mungkin juga yang aku tahan ini, yang aku bendung ini, bukannya sabar? kerana aku gagal mencari di mana imannya. jadi apa? bodoh? mungkin juga. kerana aku terus percaya dan aku terus memberi. dan akhirnya aku sendiri, menanti penuh harap, apa yang pernah dijanji.

hanya sejengkal rasanya, antara aku dan putus asa.

*ini bukan berkenaan kerja. lebih kepada rasa seorang abang kepada adiknya. sekian.

Thursday, June 2, 2011

bateri

menulis dari ruang kecil ini
sambil melirik baki bateri
yang tinggal tak lama lagi
berfikir sendiri dan mencari-cari

persis hidup di alam hakiki
andai nyawa bersisa seinci
apa yang tinggal untuk dicari
redha Ilahi atau kepuasan duniawi

harapnya itu nanti pilihan
bukan ketetapan
kerana aku percaya adanya Tuhan
kerana aku takut diperdaya syaitan

aku melirik bateri lagi
sudah tidak lama berbaki

hidup ini
hujungnya pasti mati
kerana nyawa bukan bateri

pulang

rumah usang
tanah gersang
rumput lalang
lama sudah aku tak bertandang

pusara berdua
sanak saudara
bila terakhir kita bersua?

hijau daunan
dingin air mandian
sepoi angin bertiupan
riuh ayam bersahutan

kampung halaman
tunggu nanti aku pulang


Tuesday, May 31, 2011

surprise?

Kek Cokelat Perisa Durian

best birthday ever!

terima kasih untuk semua ucapan dan doa. pada dinding facebook. pada papan-papan putih Krash Pad. kiriman-kiriman sms. kad ucapan virtual rekaan sendiri (thanks Ali!). semuanya sangat bermakna!

tahun ini, tahun untuk dikenang.

terima kasih kerana menjadikan hari semalam penuh bermakna!



love
abang firdaus

Sunday, May 29, 2011

senang

letih. tapi menyenangkan. biar merah arteri mata, tapi di hati berkuntum bunga. aku bangga dengan mereka.

memandu ulang-alik dari Kuala Lumpur ke Putrajaya sebanyak tiga pusingan langsung tidak mengubah aku menjadi baran atau paling tidak, kurang siuman. ditambah pula dengan tidur yang kurang 4 jam.

inilah magisnya. kerja ini memenatkan tapi melihat hasilnya semua itu tak terasa.

anak-anak ini luar biasa. semangatnya luar biasa. bakatnya juga luar biasa. biar ada cela dan aral yang menimpa-nimpa mereka teruskan juga. hasilnya membanggakan. baik yang menari, berpuisi, berteater dan mengacara, semuanya setara.

lewat malam ini, dengan selerak tabak ruang kamar yang tak sempat dirapi, letih sedikit-sedikit memberi kesan. sekejap nanti pasti beradu tenang. tidur kepenatan dengan hati yang senang.

-- perhimpunan sejuta belia 2011 di putrajaya