Thursday, June 2, 2011

pulang

rumah usang
tanah gersang
rumput lalang
lama sudah aku tak bertandang

pusara berdua
sanak saudara
bila terakhir kita bersua?

hijau daunan
dingin air mandian
sepoi angin bertiupan
riuh ayam bersahutan

kampung halaman
tunggu nanti aku pulang


Tuesday, May 31, 2011

surprise?

Kek Cokelat Perisa Durian

best birthday ever!

terima kasih untuk semua ucapan dan doa. pada dinding facebook. pada papan-papan putih Krash Pad. kiriman-kiriman sms. kad ucapan virtual rekaan sendiri (thanks Ali!). semuanya sangat bermakna!

tahun ini, tahun untuk dikenang.

terima kasih kerana menjadikan hari semalam penuh bermakna!



love
abang firdaus

Sunday, May 29, 2011

senang

letih. tapi menyenangkan. biar merah arteri mata, tapi di hati berkuntum bunga. aku bangga dengan mereka.

memandu ulang-alik dari Kuala Lumpur ke Putrajaya sebanyak tiga pusingan langsung tidak mengubah aku menjadi baran atau paling tidak, kurang siuman. ditambah pula dengan tidur yang kurang 4 jam.

inilah magisnya. kerja ini memenatkan tapi melihat hasilnya semua itu tak terasa.

anak-anak ini luar biasa. semangatnya luar biasa. bakatnya juga luar biasa. biar ada cela dan aral yang menimpa-nimpa mereka teruskan juga. hasilnya membanggakan. baik yang menari, berpuisi, berteater dan mengacara, semuanya setara.

lewat malam ini, dengan selerak tabak ruang kamar yang tak sempat dirapi, letih sedikit-sedikit memberi kesan. sekejap nanti pasti beradu tenang. tidur kepenatan dengan hati yang senang.

-- perhimpunan sejuta belia 2011 di putrajaya

Thursday, May 26, 2011

suara (kecewa)

suara ini suara yang hampir lelah
suara ini suara yang tak diambil kisah
hampir kalah

patutnya berdiam saja
patutkah berdiam saja?

suara ini
nanti sepi

mungkin di situ nanti
kau akan jumpa sejahtera

atau mungkin itu yang didoa?

Monday, May 23, 2011

sekolah

jujur, aku tak pernah suka sekolah dulu. aku pemberontak. aku lawan cakap cikgu asmadi. dipanggil ke bilik kaunseling dan bilik penolong kanan hal ehwal pelajar saban hari. lalu aku ambil keputusan nekad. lari. hampir sebulan aku mendiamkan diri. sehingga pihak sekolah menelefon. mak yang jawab. gertak cikgu, kalau aku tak juga muncul, sekolah akan laporkan ke pihak polis. kesiankan mak, aku ke sekolah keesokan hari.

gila malu. tapi aku tebalkan muka. SPM kurang dua bulan berbaki. aku hilang kawan. waktu rehat hanya di dewan. sendiri. guru-guru yang faham singgah menemani. ada yang bawa buku rujukan. yang sekadar bersoal khabar. kawan-kawan mula berani menghampiri. bermula dengan sapaan. kemudian kek apollo perisa pandan. aku jadi lali. dan akhirnya terlupa dan bersatu semula.

sekarang, bila dikenangkan, semua itu indah. sekolah, walau banyak compang-campingnya, telah berjaya mencorak aku yang hari ini. aku puas hati walau aku tidak sesempurna mana. tidak juga sebijak mana. tapi sekolah telah mengajar aku tentang dunia dari perspektif yang berbeza. dari sekolah aku ke menara gading dan seterusnya ke alam kerjaya. semuanya sempurna walau ada lopak-lopak di sini sana. biasalah. itu lumrah.

banyak benda, yang kita PERLU lakukan, suka atau tidak. ke sekolah, bagi aku, salah satunya. aku berjaya melawan KEHENDAK dan meletakkan apa yang perlu dahulu. itu pengajaran paling besar dalam hidup. berjaya menghabiskan 11 tahun persekolahan, adalah satu pencapaian yang sangat besar! walau tiada A sederet di atas kertas keputusan, tapi aku lunaskan tanggungjawab yang mak dan ayah letakkan. duit hasil torehan getah dan setiap penat lelah mereka tidak pernah aku lacurkan.

terima kasih cikgu asmadi!

Sunday, May 22, 2011

photoshop battle


Ni hasil pertempuran antara aku dan kasut-faizol dalam tempoh masa kurang dari 15 minit - cabaran merekacipta poster untuk LORONG THE MUSICAL. For a beginner he did a great job. Check it out!

Visit www.kasut-pejol.blogspot.com for more designs by him.